Jumaat, 4 Januari 2013

Hajat besar dua kapten



BAGAIKAN beraksi di pentas final, itu janji kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar dan ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Radzi menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam malam ini.

Biarpun aksi pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M) 2013 itu tidak menghadiahkan sebarang mata buat kedua-dua pasukan, Hairuddin yang mesra disapa Hai-O enggan mengambil mudah pertemuan tersebut.

Sebaliknya, Hai-O percaya perlawanan itu menjadi titik tolak kemampuan pasukannya mencabar mana-mana pasukan elit dalam saingan Liga Super musim ini.

"Perlawanan Sumbangsih tetap menjadi keutamaan kami sebagai penyuntik semangat sebelum berdepan Lions XII dalam aksi sulung Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi (9 Januari) nanti.

"Jika kami berjaya menewaskan Kelantan, ini bermakna ATM sudah bersedia mengharungi Liga Super," kata Hai-O pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Pada masa sama, Hai-O juga menyifatkan kejayaan menewaskan Kelantan mampu merealisasikan sasaran awalnya membantu ATM untuk sekurang-kurangnya mendakap satu trofi musim ini.

"Saya idam satu trofi, jadi Piala Sultan Ahmad Shah merupakan peluang pertama saya. Sudah tentu saya enggan mensia-siakan peluang itu," katanya.

Dalam pada itu, Badhri yang mesra dengan panggilan Piya mengakui, ATM bukan calang-calang pencabar seperti mana yang dibuktikan ketika aksi final Piala Malaysia, Oktober lalu.

Biarpun beberapa keputusan perlawanan persahabatan Kelantan sebelum ini kurang memuaskan, Piya optimis rakan-rakan sepasukannya kembali bangkit mempamerkan karakter selaku sang juara malam ini.

"Tekanan selaku juara trebel sentiasa ada, jadi kami perlu membuka buku baharu dan melupakan kejayaan lalu.

"Biarpun bukan mudah, terutamanya tanpa Apexs (Khairul Fahmi Che Mat), saya harap kami mampu mengekang serangan ATM dengan cukup baik.

"Saya juga tidak terlalu tertekan memburu gol kerana percaya dengan kemampuan jentera serangan Kelantan yang masih tajam biarpun tanpa Norshahrul Idlan Talaha dan Mohammad Ghaddar," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...