Rabu, 19 Disember 2012

Rajagobal enggan cepat melatah



PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal enggan cepat melatah di sebalik tekanan daripada sesetengah pihak ekoran kegagalan anak-anak buahnya mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF tahun ini.

Biarpun didesak melepaskan jawatannya, Rajagobal menegaskan bahawa beliau masih mempunyai tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Justeru, Rajagobal enggan mempedulikan 'cakap-cakap luar', sebaliknya mahu terus fokus membimbing Harimau Malaya bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015 yang bermula tahun depan.

"Saya tahu apa yang perlu saya lakukan. Selepas Piala Suzuki AFF 2012, misi saya adalah fokus kepada persiapan pasukan kebangsaan bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2015... itu sahaja," kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebelum menghadapi kempen Piala Suzuki AFF kali ini, Rajagobal sudah mula dikritik hebat disebabkan prestasi hambar skuad kendaliannya pada siri perlawanan persahabatan.

Pada masa sama, pelbagai 'eksperimen' yang dilakukan Rajagobal bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap turut tidak disenangi beberapa pihak termasuk penyokong setia Harimau Malaya.

Kemuncak kemarahan mereka tercetus apabila Harimau Malaya tersingkir pada peringkat separuh akhir selepas tewas dengan agregat 1-3 kepada Thailand.

Kegagalan tersebut dianggap sebagai satu kesalahan besar yang telah dilakukan Rajagobal sehingga ada pihak mahukan jurulatih berusia 56 tahun itu dipecat.

Rentetan itu, pengkritik sukan tanah air termasuk beberapa individu tertentu mencadangkan jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee mengambil alih tugas Rajagobal.

Begitupun, kedudukan Rajagobal untuk menduduki 'kerusi panas' itu masih selamat dan beliau masih diberikan kepercayaan penuh oleh FAM untuk membimbing Harimau Malaya, sekurang-kurangnya sehingga kontraknya tamat pada penghujung tahun depan.

Ditanya mengenai keputusan FAM itu, Rajagobal bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut.
"Saya tidak mahu memberikan komen mengenai hal tersebut.

"Apa yang pasti, kontrak saya kekal hingga Disember 2013 dan seperti yang saya katakan, fokus saya kini ialah Piala Asia 2015," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...