Ahad, 26 Ogos 2012

Afiq tarik perhatian



DUA jaringan sudah memadai buat pemain pinjaman, Mohd Afiq Azmi untuk menarik perhatian penyokong Red Warriors malah melalui dua jaringan itu, Kelantan berjaya meraih tiga mata pertama selepas menang tipis 2-1 ke atas Kedah dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, kelmarin.

Mohd Afiq yang dipinjam dari pasukan Kuala Lumpur mempunyai peluang untuk menyerlah bersama Red Warriors selepas muncul wira dalam memastikan pasukannya tidak kecundang di gelanggang sendiri.

Mohd Afiq berkata, dua jaringan yang dilakukan adalah hasil kerjasama sepasukan namun mengakui jaringan itu memberi motivasi kepadanya untuk beraksi lebih cemerlang.

Pemain berusia 23 tahun berasal dari Kangar, Perlis itu berkata, peluang yang diberikan ketua jurulatih, Bojan Hodak digunakan sepenuhnya bagi membalas kepercayaan sekali gus membantu pasukan meraih tiga mata pertama selepas dua perlawanan.

“Saya gembira kerana bersama pasukan kuat malah jaringan yang dihasilkan juga melalui bantuan rakan sepasukan dan ia juga menjadi penyuntik semangat untuk beraksi lebih baik.

“Terima kasih kepada jurulatih kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk beraksi malam ini (kelmarin) dan saya juga tidak mensia-siakan peluang yang diberikan,” katanya.

Sebelum ini Mohd Afiq juga mempamer aksi memukau selepas meledak empat jaringan dalam dua perlawanan persahabatan dengan pasukan kelab dari Thailand, Pattani FC (tiga jaringan) dan T-Team (satu jaringan) bulan lalu.

Berikutan itu, kemampuan Mohd Afiq mula menjadi perhatian peminat fanatik Red Warriors malah ramai penyokong gergasi Pantai Timur itu mahu pemain itu kekal bersama pasukan untuk musim seterusnya.

Sementara itu Hodak berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan perlawanan namun masih ada kelemahan yang perlu dibaiki sebelum berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) esok.

“Saya puas hati namun masih ada kelemahan. Kami pasukan juara dan saya masih yakin kami mempunyai harapan untuk mara ke peringkat seterusnya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...